
PUTRAJAYA — MyHeroes Night Charity Run 2025 yang dianjurkan oleh Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) menerima sokongan padu daripada pelbagai penaja korporat, sekali gus memperkukuh misi kebajikan dan pembangunan komuniti veteran TLDM.
Acara ini menyaksikan sokongan berterusan daripada rakan strategik utama Ace Marine dan Finetech, yang telah konsisten menjadi ‘force multiplier’ sejak penganjuran Golf Amal PVTLDM sebelum ini. Tahun ini juga menyaksikan beberapa penaja baharu tampil menyertai misi PVTLDM, termasuk Trenergy Infrastructure Sdn. Bhd., Weststar Aviation Group, Bras Ventures Berhad, Argrow Farm, Batik Air Malaysia, Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd, GGR MOTOR, dan Malaysian Armed Forces Trading Corporation (PERNAMA).
Setiap penaja memainkan peranan tersendiri dalam memeriahkan acara. Trenergy menonjol dengan semangat tinggi di lokasi larian, turun berlari bersama peserta dan mencipta suasana meriah seperti keluarga besar. Gardenia menjadikan acara ini sebagai kolaborasi sulung mereka bersama organisasi berkaitan ATM. Sementara itu, Batik Air mencatat sejarah kerjasama pertama dengan persatuan veteran dengan menyumbang tiket penerbangan, manakala Argrow Farm memilih pentas MyHeroes untuk pelancaran produk baharu, iaitu jus asam jawa.
Selain itu, penaja lain turut menambahkan nilai hadiah dan pengalaman peserta, termasuk IGear dengan sumbangan enam smartwatch, Wassiyah Shoppe dengan 10 baucar eksklusif bagi perkhidmatan Wasiat Percuma bernilai RM1,000 setiap satu, serta PERNAMA dengan 20 hamper eksklusif untuk cabutan bertuah.
PVTLDM menekankan bahawa setiap sumbangan, besar atau kecil, dihargai sebagai sebahagian daripada kekuatan yang menggerakkan misi persatuan. Acara ini bukan sekadar larian amal, tetapi juga platform strategik untuk membina kolaborasi korporat berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada veteran TLDM.
PVTLDM menyeru lebih banyak syarikat dan individu untuk bersama-sama “sail alongside us”, memastikan setiap pelaburan penaja diterjemahkan kepada impak sebenar kepada komuniti veteran dan aktiviti kebajikan yang dijalankan persatuan.