

KUALA LUMPUR – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) melahirkan rasa berbesar hati apabila dipilih sebagai salah satu daripada lima persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dijemput menghadiri Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026, yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, hari ini.
Perutusan tersebut mencerminkan komitmen serius Kerajaan dalam usaha memulihkan wibawa Angkatan Tentera Malaysia melalui pelaksanaan reformasi tatakelola yang lebih tegas, berintegriti serta berakauntabiliti, di samping memastikan kesinambungan agenda pemodenan aset pertahanan demi mempertahankan kedaulatan negara.
Antara penekanan utama yang diberikan perhatian khusus dan signifikan kepada warga veteran termasuk pengurusan ancaman keselamatan, khususnya di Laut China Selatan, pemerkasaan industri pertahanan tempatan, peningkatan kesiagaan Angkatan Masa Hadapan, serta pelaksanaan konsep Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) dalam memperkukuh keselamatan nasional. Turut ditekankan ialah keperluan untuk meningkatkan kebajikan anggota dan veteran ATM secara menyeluruh.
PVTLDM menyambut baik pendirian tegas Menteri Pertahanan yang menegaskan pendekatan tanpa kompromi terhadap rasuah, di samping pengukuhan sistem tadbir urus yang telus dan berintegriti dalam sektor pertahanan negara.
Lebih memberangsangkan, pengumuman Belanjawan Pertahanan 2026 berjumlah RM21.74 bilion, termasuk RM6 bilion bagi perolehan aset strategik, jelas memperlihatkan kesungguhan Kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara melalui reformasi, pendigitalan serta penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).
Sebagai suara rasmi Veteran Tentera Laut, PVTLDM menegaskan komitmen berterusan untuk menjadi rakan strategik Kementerian Pertahanan, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan veteran, pembangunan kerjaya pasca perkhidmatan serta memperluas peranan veteran dalam ekosistem keselamatan dan ekonomi negara.