

PUTRAJAYA – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) berbesar hati apabila Yang Berhormat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sudi menerima kunjungan hormat delegasi PVTLDM di Kementerian Kewangan, Putrajaya, pada pagi Jumaat yang penuh keberkatan.
Pertemuan ini bertujuan untuk berkongsi hala tuju strategik PVTLDM yang selari dengan Inisiatif 3K serta kerangka ekonomi Kerajaan, khususnya pendekatan “raising the floor” bagi membantu golongan veteran yang rentan, dan “raising the ceiling” bagi meningkatkan pendapatan veteran secara mampan dan berdaya saing.
Dalam sesi perbincangan tersebut, PVTLDM turut mengetengahkan potensi besar Ekonomi Biru, dengan menekankan peranan Veteran Tentera Laut sebagai tenaga kerja berkemahiran yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya (untapped workforce). Pengalaman, disiplin serta kepakaran teknikal veteran TLDM dilihat mampu menyumbang secara signifikan kepada sektor maritim, logistik, keselamatan dan industri berkaitan.
YB Menteri Kewangan II menyambut baik kehadiran PVTLDM sebagai persatuan veteran pertama yang mengadakan pertemuan rasmi bersama beliau. Beliau turut menyatakan kesediaan untuk membantu memperhalusi agenda pemerkasaan veteran, termasuk menghubungkan isu berkaitan Ekonomi Biru dengan YB Menteri Ekonomi, meneroka peluang kerjaya kedua untuk veteran TLDM bersama Malaysia International Shipping Corporation (MISC), serta meneliti potensi insentif kepada syarikat swasta yang menggaji veteran.
PVTLDM menegaskan bahawa aspirasi persatuan adalah untuk membina dasar yang inklusif dan progresif, yang mengangkat veteran sebagai penyumbang aktif kepada ekonomi negara, bukan sekadar penerima bantuan kebajikan.
Pertemuan ini dilihat sebagai langkah awal yang penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara PVTLDM dan Kerajaan, selaras dengan usaha memperkasa veteran TLDM sebagai aset bernilai dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan negara.