
Buat julung kalinya, Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) bersama Retired Malaysian Naval Officers Association (RMNOA) telah mengadakan sesi perbincangan strategik yang berlangsung di KD Sri Gombak. Inisiatif ini menandakan satu langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama antara dua entiti utama yang mewakili komuniti veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada penerokaan ruang dan peluang kerjasama dalam penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan kebajikan serta pembangunan veteran TLDM. Dengan kekuatan PVTLDM yang memiliki jumlah keahlian yang besar, digabungkan dengan jaringan luas yang dimiliki oleh RMNOA, usaha ini diyakini mampu menghasilkan impak yang lebih menyeluruh dan berkesan. Selain itu, kolaborasi ini juga berpotensi mewujudkan penjimatan kos serta memastikan setiap usaha yang dilaksanakan lebih tersusun melalui pendekatan “concentration of effort”.
Dalam sesi yang sama, pihak PVTLDM turut mengambil peluang untuk berkongsi aspirasi strategik persatuan, termasuk pelaksanaan Inisiatif 3K, pembangunan Ekonomi Biru serta cadangan dasar “Veteran 1% Policy (VIP)” sebagai langkah memperkasa kedudukan dan kesejahteraan veteran TLDM dalam jangka masa panjang.
Sesi kedua pula menyaksikan pembentangan berkaitan aplikasi Alifpay kepada PVTLDM. Aplikasi ini bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah platform marketplace, malah turut menawarkan kemudahan sebagai payment gateway yang berpotensi menjadi sumber penjanaan pendapatan baharu kepada persatuan serta ahli-ahlinya.
Kerjasama strategik ini diharapkan menjadi titik tolak kepada pembentukan ekosistem veteran TLDM yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing, sejajar dengan usaha berterusan memperjuangkan kebajikan serta masa depan komuniti veteran negara.