
PANGKALAN TLDM – Satu sesi perjumpaan telah diadakan di PUSMAS TLDM bagi membincangkan beberapa inisiatif baharu yang berpotensi memberi manfaat kepada ahli Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), selaras dengan pendekatan Inisiatif 3K yang diperkenalkan persatuan.
Antara fokus utama perbincangan ialah penerokaan kolaborasi strategik bersama ZAAJ Wealth Management yang diterajui oleh Dato’ Zureen Azwan Abd Jalil, melibatkan satu produk simpanan dikenali sebagai Secured Saving Treasure (SST) di bawah Khazanah Nasional Berhad. Produk ini menawarkan konsep hampir seperti simpanan tetap (fixed deposit), namun dengan kelebihan pembayaran pulangan tunai tahunan sehingga tempoh 20 tahun.
Kadar pulangan yang ditawarkan adalah sebanyak 12 peratus setahun bagi 10 tahun pertama, diikuti 22 peratus untuk lima tahun seterusnya dan 28 peratus bagi lima tahun terakhir. Bagi tempoh kempen semasa dari 14 Februari hingga 31 Mac 2026, tambahan pulangan sebanyak 8.33 peratus ditawarkan pada tahun pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pulangan sekitar 20.33 peratus.
Selain peluang menjana pendapatan tambahan kepada ahli, inisiatif ini turut dilihat mampu membantu PVTLDM mewujudkan sumber pendapatan pasif secara berterusan, sekali gus memperkukuh dana kebajikan dan pelaksanaan program pembangunan ahli.
Turut dibincangkan ialah Program Berkat Zakat yang membolehkan ahli menukar Potongan Cukai Berjadual (PCB) kepada zakat, di mana sebahagian daripadanya boleh disalurkan semula kepada keluarga, komuniti atau badan bukan kerajaan. Selain itu, peluang kerjaya sebagai Wealth Entrepreneur turut diperkenalkan dengan potensi pendapatan bulanan.
Taklimat lanjut akan diadakan secara dalam talian kepada ahli yang berminat dalam masa terdekat.