
KUALA LUMPUR, 8 April — Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) mengadakan pertemuan bersama Alumni Graduan Institusi Korea Kebangsaan bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, kerjaya dan pembangunan ekonomi.
Pertemuan tersebut diadakan hasil usaha Tn Hj Nizam Abdul Talip dan diketuai oleh Presiden AGIKO, Ir Zamri Abas. AGIKO merupakan organisasi yang menghimpunkan alumni graduan institusi di Korea Selatan serta aktif dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan industri antara Malaysia dan negara itu.
Menurut PVTLDM, kedua-dua pihak berkongsi matlamat yang sama dalam memperkasa komuniti agar lebih berdikari serta mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Antara fokus utama perbincangan ialah membuka peluang kepada anak-anak veteran dan warga TLDM untuk melanjutkan pelajaran ke Korea Selatan, termasuk penyediaan kemudahan pembiayaan dan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Inisiatif tersebut turut memberi penekanan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.
Satu sesi taklimat khas dijangka akan diadakan dalam masa terdekat bagi memberi penerangan lanjut kepada kumpulan sasaran.
AGIKO turut menyediakan pendekatan “one stop centre” dengan sokongan Dimitech Resources Sdn Bhd dalam pengurusan calon pelajar serta Affin Bank yang menawarkan pakej pembiayaan pendidikan yang kompetitif.
Selain itu, PVTLDM turut melihat potensi kerjasama lebih luas dalam sektor Ekonomi Biru melalui jaringan industri Korea Selatan.