Ketua Pengarah PERHEBAT Lakukan Lawatan Mengejut ke Tapak Projek PVTLDM Pahang

KUANTAN, 16 Julai 2025 – Tapak Projek Penternakan dan Pertanian Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Negeri Pahang di Padang Hangus, Kuantan menerima lawatan mengejut daripada Ketua Pengarah PERHEBAT Malaysia, YBhg. Dato’ Ts Amir bin Mohd Noor. Lawatan yang berlangsung pada jam 3.00 hingga 5.30 petang itu turut diiringi oleh Pengurus PERHEBAT Negeri Pahang, Leftenan Ahmad Khairul Ariffin bin Sukiman TLDM (Bersara).

Ketibaan rombongan disambut mesra oleh Yang Dipertua PVTLDM Negeri Pahang, Tuan Haji Awai bin Mohamad, bersama-sama pasukan projek penternakan dan pertanian yang kini giat membangunkan kawasan tersebut sebagai salah satu inisiatif sosioekonomi untuk veteran. Tuan Haji Awai dalam taklimat ringkasnya telah berkongsi sejarah penubuhan tapak ini, termasuk perkembangan semasa, pencapaian dan cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Projek ini merupakan antara langkah awal PVTLDM Negeri Pahang dalam menjayakan komponen keusahawanan dan kerjaya di bawah kerangka Inisiatif 3K yang diperkenalkan oleh PVTLDM Kebangsaan. Ia melibatkan penternakan berskala kecil dan tanaman komersial yang dijalankan secara berfasa oleh ahli PVTLDM sendiri, dengan tujuan jangka panjang untuk menjana pendapatan serta membina kemahiran keusahawanan dalam kalangan veteran TLDM.

Dalam perbincangan santai yang turut berlangsung di lokasi, Dato’ Ts Amir memberikan pelbagai pandangan dan nasihat berharga untuk memperkukuh pengurusan serta keberkesanan projek. Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap inisiatif veteran TLDM dalam menjadikan tanah kosong sebagai platform pembangunan ekonomi yang berimpak. Beliau menyatakan bahawa pendekatan ini perlu dijadikan contoh oleh persatuan veteran lain dalam memanfaatkan peluang serta sokongan daripada agensi berkaitan.

Lawatan kemudiannya diteruskan dengan tinjauan menyeluruh ke seluruh kawasan projek termasuk kandang ternakan, kawasan tanaman dan pelan pembangunan yang dirancang. Pasukan PERHEBAT turut mencatat maklumat teknikal dan keperluan semasa projek bagi meneliti potensi bantuan serta latihan lanjutan yang boleh diberikan.

Lawatan mengejut ini bukan sahaja memberi motivasi kepada ahli PVTLDM yang terlibat dalam projek, malah membuka ruang kepada kerjasama strategik lebih erat antara PVTLDM dan PERHEBAT bagi memastikan setiap projek veteran membawa manfaat sebenar dan bersifat lestari. Ia sekali gus membuktikan bahawa veteran TLDM bukan sekadar bekas anggota perkhidmatan, tetapi juga pemacu kepada pembangunan komuniti dan ekonomi tempatan.