
Sibu, Isnin – 28 Oktober 2025: Yang DiPertua Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Negeri Sarawak, Encik Unyok anak Dasi bersama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Mejar Kehormat Wilson Dato Ling di pejabat beliau, Jaya Coastal Group, Sibu, Sarawak.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim antara pihak persatuan dengan tokoh korporat tempatan yang juga merupakan penyokong kuat kepada inisiatif kebajikan veteran. Dalam pertemuan tersebut, pelbagai isu dan cadangan telah dibincangkan, termasuk peluang kerjasama strategik antara PVTLDM dan pihak industri tempatan bagi memperkasakan sosioekonomi komuniti veteran di negeri Sarawak.
Encik Unyok dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kesudian Mejar Kehormat Wilson Dato Ling menerima kunjungan mereka serta keprihatinan beliau terhadap kebajikan veteran TLDM. Beliau turut menekankan bahawa sokongan dan sumbangan daripada tokoh-tokoh masyarakat serta sektor swasta amat penting dalam menjayakan usaha persatuan membantu veteran yang telah menabur bakti kepada negara.
Sementara itu, Mejar Kehormat Wilson Dato Ling dalam ucapan balasnya menyatakan kesediaan untuk terus menyokong inisiatif PVTLDM, khususnya dalam memperluas peluang kerjaya dan latihan kepada veteran serta anak-anak mereka. Beliau turut menyambut baik cadangan untuk menjalin kerjasama dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi bergambar kenangan serta penyerahan cenderamata daripada PVTLDM kepada Mejar Kehormat Wilson Dato Ling sebagai tanda penghargaan. Pertemuan tersebut diharap dapat menjadi permulaan kepada hubungan strategik jangka panjang antara PVTLDM Sarawak dan sektor korporat bagi memperkukuh agenda kebajikan serta pembangunan komuniti veteran di negeri ini.