
JOHOR BAHRU, 28 Januari – YBhg. Laksamana (B) Tan Sri Dato’ Seri Ramlan Mohamed Ali bersama enam orang delegasi telah mengadakan lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Johor Bahru dalam usaha memperkukuh hubungan serta mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai operasi dan kemudahan yang terdapat di pangkalan tersebut.
Ketibaan delegasi telah disambut oleh pihak pengurusan pangkalan sebelum lawatan dimulakan dengan sesi taklimat rasmi berkaitan struktur, fungsi serta peranan Markas Pangkalan TLDM Johor Bahru. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Kept Shaharudin bin Abu Bakar TLDM yang menerangkan mengenai aspek pengurusan pangkalan, operasi semasa serta peranan strategik pangkalan dalam menyokong kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Selain itu, delegasi turut menghadiri sesi taklimat santai yang menyentuh mengenai peranan dan aktiviti Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Negeri Johor. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Yang Dipertua PVTLDM Johor, Tuan Haji Hanafiah bin Jaffar. Beliau turut berkongsi mengenai usaha persatuan dalam menjaga kebajikan veteran TLDM serta memperkukuhkan hubungan antara bekas anggota dan organisasi TLDM.
Sebagai sebahagian daripada program lawatan, delegasi juga telah dibawa melawat sekitar kawasan pangkalan bagi meninjau kemudahan yang disediakan serta melihat secara dekat operasi yang dilaksanakan oleh warga pangkalan. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk memahami dengan lebih mendalam peranan penting pangkalan dalam menyokong operasi maritim negara.
Secara keseluruhannya, lawatan ini bukan sahaja mempereratkan hubungan antara pihak delegasi dan warga TLDM, malah turut membuka ruang perkongsian pandangan serta pengalaman dalam usaha memperkukuhkan peranan komuniti veteran dalam menyokong institusi pertahanan negara.
Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan atas kunjungan dan sokongan yang diberikan kepada Pangkalan TLDM Johor Bahru.