CYBERJAYA, 12 Jun 2025 – Presiden Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM), Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara) telah berpeluang melawat fasiliti Bridge Simulator milik CONTRAVES yang terletak di Cyberjaya. Lawatan ini turut disertai oleh dua tokoh veteran TLDM berpengalaman, Tuan Zahari dan Tuan Syed Noh, yang kini turut bergiat aktif dalam bidang latihan dan pembangunan maritim negara.
Fasiliti yang dibangunkan oleh CONTRAVES ini merupakan antara pusat latihan simulasi paling canggih di Malaysia, lengkap dengan enam unit bridge simulator yang berupaya mensimulasikan pelbagai senario pelayaran dalam kondisi dunia sebenar. Antara demonstrasi yang ditunjukkan termasuk senario kapal tangki minyak meninggalkan West Port dalam keadaan cuaca buruk dan pelayaran waktu malam – satu pengalaman simulasi yang benar-benar mendekati realiti dan menuntut kemahiran tinggi dalam pengendalian.
Presiden PVTLDM menzahirkan rasa kagum terhadap tahap kecekapan dan realisme sistem yang digunakan. Beliau turut berkongsi pengalaman sebagai bekas pegawai TLDM, menyatakan bahawa pengendalian kapal dagang ternyata jauh lebih mencabar berbanding kapal perang TLDM yang lebih responsif. Analogi yang diberikan ialah ibarat “memandu kereta sport berbanding lori enam tayar”, menzahirkan perbezaan besar dari segi tindak balas kawalan dan kemudahan manuver.
Dalam lawatan tersebut, turut diadakan sesi diskusi bersama pihak pengurusan CONTRAVES berkaitan peranan strategik PVTLDM dalam menyumbang kepada Ekonomi Biru Malaysia. Turut dibincangkan ialah potensi veteran TLDM sebagai tenaga kerja terlatih dan berpengalaman dalam industri maritim negara. Pihak PVTLDM turut mengambil kesempatan mempersembahkan halatuju strategik persatuan dalam menggerakkan Inisiatif 3K – Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan untuk veteran.
Banyak input bernas dan cadangan praktikal telah diterima, terutamanya dalam aspek latihan semula (reskilling), pensijilan profesional, dan peluang penempatan kerja bagi veteran yang ingin menyumbang dalam sektor perkapalan, pelabuhan, serta keselamatan maritim.
PVTLDM menzahirkan penghargaan kepada pasukan CONTRAVES atas layanan mesra dan keterbukaan dalam menjalin kerjasama masa hadapan. Lawatan ini diharap menjadi permulaan kepada satu bentuk sinergi baharu antara veteran TLDM dan pemain industri maritim, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara maritim berpendapatan tinggi.