SIBU, 2 Februari 2026 – Satu Majlis Santai Petang bersama YB Cikgu Anyi Jana, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak bagi kawasan N.49 Ngemah telah diadakan di Nur Islamic Cafe. Majlis tersebut dianjurkan oleh Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Negeri Sarawak dengan kehadiran ahli-ahli persatuan serta jemputan khas.

Majlis yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh mesra ini bertujuan mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dan komuniti veteran TLDM di negeri Sarawak. Dalam majlis ringkas tersebut, PVTLDM Cawangan Negeri Sarawak telah sebulat suara melantik YB Cikgu Anyi Jana sebagai Penaung persatuan, sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan dan komitmen beliau kepada komuniti veteran.

Dalam ucaptamanya, YB Cikgu Anyi Jana merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas pelantikan tersebut. Beliau menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan sebagai penaung serta menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh persatuan demi kebajikan ahli-ahlinya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dan semangat perpaduan dalam kalangan ahli PVTLDM Cawangan Negeri Sarawak bagi memastikan hala tuju persatuan dapat dicapai dengan lebih berkesan pada masa hadapan. Menurut beliau, kerjasama yang kukuh akan menjadi asas penting dalam memperkasa peranan persatuan serta memperjuangkan kebajikan veteran TLDM di negeri ini.

Majlis tersebut turut menjadi platform bagi bertukar pandangan serta memperkukuhkan jaringan antara ahli persatuan dan pihak berkepentingan. Suasana harmoni yang terjalin mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan kesinambungan dan kejayaan persatuan.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenangan serta simbolik kepada hubungan erat yang terjalin antara PVTLDM Cawangan Negeri Sarawak dan penaung baharu mereka.