KUALA LUMPUR, 20 Julai 2025 – Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Kuala Lumpur telah berjaya dilaksanakan dengan lancar di KD SRI GOMBAK hari ini. Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Laksamana Pertama Mohd Yusri Yusoff, Ketua Tim Naval Future Force, yang hadir mewakili Timbalan Panglima Tentera Laut. Kehadiran beliau merupakan satu penghormatan besar dan mencerminkan komitmen berterusan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam memperkukuhkan hubungan bersama komuniti veteran laut di bawah ekosistem Navy People.
Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan pentingnya kesinambungan antara TLDM dan veteran sebagai rakan strategik dalam pelbagai inisiatif pembangunan komuniti, selain mengiktiraf sumbangan PVTLDM sebagai satu entiti yang aktif dan progresif. Beliau turut memuji pendekatan terkini PVTLDM yang tidak hanya berorientasikan kebajikan, malah menjadikan para veteran sebagai penyumbang solusi (“solution provider”) dalam agenda pembangunan pertahanan dan masyarakat.
MAN kali ini turut menjadi medan perkongsian kemajuan PVTLDM serta penerangan berkenaan pelbagai inisiatif di bawah payung Inisiatif 3K PVTLDM yang merangkumi aspek Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan. Platform ini turut menyaksikan kehadiran ramai muka baharu yang menunjukkan sinar harapan terhadap kredibiliti dan hala tuju PVTLDM.
Turut menyerikan majlis ialah tokoh-tokoh terkemuka dan ahli aktif PVTLDM Cawangan Kuala Lumpur seperti Datuk Jamil Osman, Dato’ Musa Omar dan Dato’ Nor Azman. Kehadiran mereka memberikan suntikan semangat kepada barisan kepimpinan dan ahli-ahli lain yang turut serta dalam mesyuarat kali ini.
MAN juga telah digunakan sebagai pentas mengukuhkan kolaborasi strategik antara PVTLDM dan TLDM, termasuk perancangan program Merdeka Golf Charity Cup (MGCC) 2025, sebuah program golf amal hasil kerjasama erat kedua-dua pihak yang dijadual berlangsung bulan hadapan. Inisiatif ini adalah salah satu simbol sinergi aktif antara warga aktif dan veteran TLDM dalam menjayakan agenda komuniti dan kebajikan bersama.
Segala keputusan dan usul yang dibincangkan dalam MAN ini telah diterima dan disepakati secara sebulat suara dalam suasana harmoni dan penuh muafakat. Yang Dipertua PVTLDM Cawangan Kuala Lumpur, Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara), merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan mesyuarat kali ini dan menyeru agar semua ahli terus kekal bersatu dan progresif dalam memperjuangkan agenda PVTLDM.