MESYUARAT AGUNG NEGERI PVTLDM MELAKA 2025 PERKUKUH PERANAN VETERAN TENTERA LAUT

MELAKA, 2 Ogos 2025 – Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Melaka 2025 telah berlangsung dengan penuh semangat dan iltizam di Kompleks Falaj Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Hameed bin Mytheekin Kunju Basheer, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Melaka, dengan turut dihadiri Pengarah PERHEBAT Melaka dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) Melaka.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Hameed menzahirkan penghargaan tinggi kepada veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai aset berharga negeri, khususnya dalam sektor perkapalan dan pelabuhan. Beliau menegaskan harapan agar PVTLDM terus menjadi tempat berpaut buat veteran serta waris mereka. Turut dikongsikan pengalaman beliau dalam membantu veteran sebelum ini melalui penyediaan tapak pasar malam dan pengurusan dewan acara bagi meningkatkan ekonomi komuniti setempat.

YB Datuk Hameed juga mengusulkan agar PVTLDM meneroka peluang kerjasama strategik dengan kerajaan negeri dalam Projek Pusat Tahfiz Pulau Besar dan penubuhan Fakulti Maritim Universiti Melaka, yang dilihat mampu membuka ruang pembangunan modal insan maritim yang lebih meluas.

Sementara itu, Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (B), Presiden PVTLDM, dalam ucapannya menegaskan kepentingan sokongan kerajaan negeri untuk membuka lebih banyak peluang kerjaya di bawah Ekonomi Biru buat veteran. Beliau menekankan bahawa Melaka, sebagai negeri maritim bersejarah, mempunyai potensi besar, apatah lagi dengan kewujudan Muzium TLDM yang menjadi lambang warisan maritim negara.

Sebelum mesyuarat bermula, satu sesi dialog bersama ahli PVTLDM Cawangan Melaka turut diadakan bagi membincangkan pelbagai inisiatif selaras dengan Inisiatif 3K PVTLDM yang merangkumi kebajikan, kerjaya, dan keusahawanan. Sesi ini telah menerima pelbagai pandangan dan cadangan konstruktif daripada ahli yang hadir, sekali gus memperkukuh hala tuju persatuan di negeri ini.

Majlis ini diakhiri dengan seruan kepada semua ahli untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan peranan PVTLDM di Melaka. Seperti yang diungkapkan Presiden PVTLDM, “Kita bukan peminta sedekah, tetapi penawar kepada solusi”, satu pesanan yang menjadi iltizam perjuangan warga veteran Tentera Laut di seluruh negara.