KUANTAN, 16 Ogos 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Negeri Pahang telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Tahun 2025 di Stesen Komunikasi TLDM (SKTLDM) Padang Hangus, Kuantan. Mesyuarat ini menjadi penutup tirai siri MAN PVTLDM seluruh negara bagi tahun ini, sekaligus meninggalkan makna yang besar buat warga veteran laut.
Majlis perasmian disempurnakan oleh En. Nik Mohd Ridzuan Kamaruddin, wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman, Penasihat PVTLDM Negeri Pahang; Komander Mohd Ariff Farhan, Pegawai Memerintah KD SRI KUANTAN mewakili Panglima Wilayah Laut 1; Mejar Khairul Azhar bin Md Dahad TUDM, Pengarah JHEV Negeri Pahang; serta Lt Ahmad Khairul Ariffin bin Sukiman TLDM (Bersara), Pengurus PERHEBAT Negeri Pahang.
Kehadiran Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara), Presiden PVTLDM Negara, menjadi tumpuan apabila beliau memperkenalkan baju korporat baharu PVTLDM dan berkongsi pencapaian persatuan yang kini telah mencapai 11,000 ahli berdaftar. Beliau turut menyampaikan maklumat mengenai bantuan yang telah diberikan kepada 16 veteran TLDM di Pahang, serta menerangkan hala tuju persatuan melalui Inisiatif 3K dan penglibatan dalam sektor Ekonomi Biru.
Dalam ucapannya, Tuan Haji Awai bin Mohamad, Yang Dipertua PVTLDM Pahang merangkap Timbalan Presiden PVTLDM Negara, menzahirkan penghargaan kepada semua jemputan dan ahli yang hadir. Beliau turut menegaskan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan negeri Pahang dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat, termasuk warga veteran.
Wakil Menteri Besar, En. Nik Mohd Ridzuan, pula menekankan bahawa jasa veteran TLDM tidak ternilai, dan kerajaan negeri bersedia membantu dalam pelbagai aspek termasuk projek pertanian di Padang Hangus yang sedang diusahakan oleh veteran sebagai sumber pendapatan ekonomi.
Mesyuarat ini turut memberi ruang kepada sesi dialog bersama ahli-ahli PVTLDM Pahang, membincangkan isu-isu semasa serta hala tuju organisasi. Keseluruhan majlis berlangsung dalam suasana teratur, penuh semangat kebersamaan, dan menjadi bukti kesungguhan PVTLDM untuk terus relevan sebagai wadah kebajikan serta pembangunan veteran Tentera Laut di negeri ini.