
REMBAU, NEGERI SEMBILAN – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Negeri Sembilan terus mengukuhkan peranan sebagai platform penyatuan veteran apabila menganjurkan Program Ngeteh Santai & Amal yang berlangsung di Rembau, baru-baru ini.
Program yang dihadiri oleh Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong itu menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti veteran setempat, sekali gus mencerminkan tahap solidariti, kebersamaan serta komitmen tinggi veteran TLDM di Negeri Sembilan dalam menyokong agenda persatuan.
Sepanjang program berlangsung, satu sesi interaksi turut diadakan bersama YB ADUN Chembong yang menyentuh perkembangan semasa Persatuan Veteran TLDM, khususnya potensi besar persatuan sebagai sebuah organisasi yang memiliki kumpulan bakat (pool of talent) berkemahiran tinggi. Kepakaran ini dilihat mampu dimanfaatkan secara strategik dalam menyokong pembangunan Ekonomi Biru, selari dengan keperluan industri maritim negara.
YB ADUN Chembong turut menyatakan pandangan agar kerajaan pusat lebih cakna dan proaktif dalam memanfaatkan kepakaran serta pengalaman veteran TLDM bagi merapatkan jurang bakat dalam sektor industri berkaitan, terutamanya yang melibatkan keselamatan, kejuruteraan dan pengurusan maritim.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Mantan Panglima Tentera Laut ke-14, Tan Sri Ramlan Mohamed Ali, yang secara tidak langsung menyemarakkan lagi suasana dan memberikan suntikan semangat kepada para veteran yang hadir.
PVTLDM Negeri Sembilan merakamkan penghargaan kepada Duta Rembau, Komander Tawil Ali Uthman Omar, atas penganjuran program yang berjalan dengan lancar dan berjaya. Penghargaan turut diberikan kepada YB ADUN Chembong atas tajaan sajian serta sokongan berterusan terhadap inisiatif kebajikan dan pembangunan veteran TLDM.
Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan sebagai medium memperkukuh jaringan, memperkasakan peranan veteran dan memastikan sumbangan mereka terus relevan dalam pembangunan negara.