SIBU, Ahad, 19 Oktober 2025 – Bertempat di Nur Islamic Café, Sibu, telah berlangsung Program Santai Hujung Minggu bersama YB Senator Tuan Robert Lau Hui Yew, Ahli Dewan Negara. Program ini diadakan bagi membincangkan hal kebajikan veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kawasan Sibu khasnya dan di negeri Sarawak amnya.
Pertemuan santai ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Negeri Sarawak kepada YB Senator Robert Lau serta membincangkan hala tuju dan perancangan masa hadapan persatuan dalam memperkukuh kebajikan serta jaringan kerjasama di peringkat negeri.
YB Senator Robert Lau telah menyambut baik usaha yang dijalankan oleh PVTLDM Sarawak dalam menjaga kebajikan veteran dan menzahirkan sokongan terhadap inisiatif persatuan untuk memperkasa peranan bekas anggota TLDM dalam masyarakat.
PVTLDM Cawangan Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Senator Robert Lau atas kesudian beliau meluangkan masa bersama kepimpinan veteran meskipun pada hari cuti umum, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap komuniti veteran tentera laut di negeri ini.