Pulau Pinang, 21 Disember 2024 – Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia (PVTLDM) telah berpeluang melawat projek penanaman cendawan tiram yang diusahakan oleh Timbalan Yang Dipertua (TYDP) PVTLDM Cawangan Pulau Pinang. Projek ini bertempat di premis Jabatan Pertanian Pulau Pinang dan merupakan usaha berpotensi besar dalam menjana pendapatan untuk ahli persatuan.
Pusat ini mampu menghasilkan bongkah cendawan tiram pada skala yang tinggi, bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga dijual kepada pengusaha lain di sekitar Pulau Pinang. Dalam sesi lawatan ini, TYDP PVTLDM PP turut berkongsi pengalaman mendapatkan ilmu penanaman cendawan dari Thailand, yang mampu menghasilkan produk yang lebih ekonomik dan menguntungkan.
Presiden PVTLDM menyatakan rasa kagum terhadap projek ini, terutamanya dalam penghasilan benih cendawan yang ketika ini sangat terhad di Malaysia. Selain itu, potensi projek ini untuk berkembang sebagai sumber pendapatan utama kepada ahli-ahli PVTLDM mendapat perhatian.
Perbincangan juga menjurus kepada cadangan menjadikan projek ini sebagai inisiatif rasmi PVTLDM Pulau Pinang, dengan memperluas skala operasi melalui permohonan tapak baru yang kini sedang dalam proses. Sekiranya pelan ini berjaya, PVTLDM Pulau Pinang berpotensi menjadi Centre of Excellence (COE) dalam penanaman cendawan tiram, di mana veteran dari negeri-negeri lain boleh dilibatkan sebagai petani kontrak.
Presiden PVTLDM memberi jaminan bahawa pihak persatuan akan berusaha mendapatkan sokongan agensi dan pihak berkaitan untuk memastikan hasrat ini direalisasikan. Projek ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi tetapi juga meningkatkan kemahiran ahli PVTLDM ke tahap yang lebih tinggi.