KUALA LUMPUR, 12 Jun 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Pejabat Menteri Pertahanan yang diketuai oleh YBhg. Brigedier Jeneral Dato’ Muzamil Hj Ali, Penasihat Ketenteraan (MA1) kepada Menteri Pertahanan, bertempat di Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).
Delegasi PVTLDM diketuai oleh Presiden PVTLDM, Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara), turut disertai Timbalan Presiden serta Setiausaha PVTLDM Cawangan Pahang. Fokus utama pertemuan ini adalah untuk mempersembahkan halatuju strategik PVTLDM menerusi pelaksanaan Inisiatif 3K (Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan), sebagai rangka tindakan menyeluruh ke arah memperkasa komuniti veteran TLDM.
Dalam sesi tersebut, pihak PVTLDM telah menyerahkan kertas kerja khas berkaitan pelaksanaan Inisiatif 3K kepada MA1 sebagai usaha mendapatkan sokongan dana khas daripada Menteri Pertahanan. Dana ini dijangka akan digunakan untuk memperluas program kebajikan, latihan kemahiran, pembangunan kerjaya kedua dan keusahawanan veteran secara lebih sistematik dan inklusif.
Perbincangan turut menyentuh isu pengurusan tanah pertanian yang sedang diusahakan oleh PVTLDM Cawangan Pahang. MA1 menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif pertanian tersebut dan mencadangkan agar permohonan rasmi dikemukakan berdasarkan status terkini tanah berkenaan, bagi membolehkan kementerian menilai bentuk sokongan lanjut yang boleh diberikan.
Turut serta dalam pertemuan ini adalah wakil dari Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV). Sesi selama lebih satu jam itu berlangsung dalam suasana penuh profesionalisme, keikhlasan dan saling memahami peranan masing-masing dalam menyokong pembangunan veteran.
PVTLDM menzahirkan penghargaan atas sokongan moral dan kesediaan Pejabat Menteri Pertahanan mendengar serta menilai cadangan yang dibentangkan. Dengan sokongan strategik ini, PVTLDM optimis bahawa Inisiatif 3K akan terus menjadi pemangkin utama dalam memperkasa kebajikan, kerjaya dan keusahawanan warga veteran TLDM di seluruh negara.