CYBERJAYA, 30 Jun 2025 – Dalam kesibukan urusan peribadi di Shah Alam, Presiden Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM), Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara) sempat meluangkan masa untuk bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Tenaga Lestari (SEDA), YBhg. Dato’ Hamzah Hussin di Cyberjaya bagi membincangkan potensi kerjasama antara PVTLDM dan SEDA.
Pertemuan santai ini menjadi ruang bermakna untuk mempersembahkan Inisiatif 3K PVTLDM yang merangkumi Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan kepada pihak SEDA. Fokus utama perbincangan ialah potensi penyertaan veteran TLDM dalam industri tenaga boleh baharu, khususnya dalam bidang tenaga solar yang kini menjadi antara sumber tenaga utama dalam peralihan negara ke arah tenaga lestari.
SEDA selaku badan yang mentadbir, mengurus dan mempromosi tenaga lestari di Malaysia, melihat peluang besar bagi veteran untuk dilibatkan secara aktif dalam sektor ini. Menurut Dato’ Hamzah, industri tenaga boleh baharu bukan sahaja berpotensi menjana pendapatan mampan, tetapi juga menawarkan peluang latihan dan pensijilan kemahiran yang dapat meningkatkan daya saing veteran dalam pasaran kerja semasa.
Presiden PVTLDM turut menekankan keperluan padanan antara kursus latihan sedia ada dengan kehendak industri, bagi memastikan veteran bersedia menyertai industri ini secara serius dan profesional. Respons positif Dato’ Hamzah turut disusuli dengan penglibatan segera pegawai SEDA yang bertanggungjawab terhadap latihan dan pensijilan industri.
Satu sesi perbincangan khas bakal diadakan dalam masa terdekat, bagi menyusun strategi pelaksanaan program latihan, pensijilan, dan penempatan kerja untuk veteran TLDM dalam bidang tenaga lestari.
Dalam pertemuan yang sama, Presiden PVTLDM turut berkongsi tentang usaha PVTLDM dalam menjana dana melalui pelbagai program amal, termasuk Golf Amal PVTLDM 2025 yang dijadualkan berlangsung Ogos ini. Dato’ Hamzah menyambut baik usaha tersebut dan memberikan pandangan bernas bagi memperkukuh keberkesanan inisiatif dana komuniti ini.
Pertemuan ini menandakan satu lagi langkah strategik PVTLDM dalam membuka pintu kerjasama antara sektor pertahanan dan industri tenaga negara. Dengan sokongan berterusan dan kepercayaan terhadap kapasiti veteran TLDM, PVTLDM yakin usaha ini bakal memberi impak jangka panjang terhadap kesejahteraan ekonomi veteran dan pembangunan sektor tenaga lestari di Malaysia.