PULAU PINANG, 17 Ogos 2025 – Satu penghormatan besar tercatat apabila Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) buat julung kalinya menyertai ASEAN Navies City Parade yang berlangsung penuh meriah di Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Acara bertaraf antarabangsa ini turut mendapat keberangkatan Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang selaku Guest of Honour.
Perbarisan tersebut menghimpunkan kapal-kapal Tentera Laut dari sembilan negara ASEAN, antaranya KD LEKIU, KD LEKIR dan KD KEDAH dari Malaysia, KDB DARULAMAN (Brunei), BRP ANTONIA LUNA (Filipina), KRI BUNG TOMO (Indonesia), UMS KING SIN PHYU SHIN (Myanmar), RSS VIGOUR (Singapura), HTMS KRABI (Thailand) serta VPNS QUANG TRUNG (Vietnam).
Lebih bermakna, kontijen PVTLDM turut sama menyertai perbarisan, menandakan pengiktirafan besar terhadap peranan dan sumbangan veteran laut. Kontijen ini bukan sahaja melibatkan ahli PVTLDM Pulau Pinang, malah turut disertai wakil daripada PVTLDM Kedah, Johor serta Veteran PASKAL Wilayah Utara. Kehadiran kepimpinan tertinggi PVTLDM termasuk Presiden, Naib Presiden II, Naib Presiden III serta Ketua Penerangan menyerlahkan komitmen persatuan dalam menyokong acara bersejarah ini.
Selain menyaksikan perbarisan, Presiden PVTLDM turut mengambil peluang berbincang dengan Pengerusi Penang Port Commission (PCC) mengenai hala tuju persatuan dalam pembangunan Industri Ekonomi Biru. Secara asasnya, PCC menyatakan persetujuan untuk meneroka potensi kerjasama, khususnya dalam menyediakan peluang kerjaya kedua untuk veteran TLDM dalam ekosistem pelabuhan Pulau Pinang.
Pengiktirafan yang diberikan kepada PVTLDM dalam acara berprestij ini menjadi bukti bahawa veteran Tentera Laut terus relevan dan berperanan penting bukan sahaja dalam memperkukuh hubungan diplomatik serantau, tetapi juga dalam menyumbang kepada agenda pembangunan negara.