KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) terus memperkukuh jaringan strategik bersama pemain industri maritim apabila Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (B), Presiden PVTLDM, berpeluang bertemu dan berdiskusi dengan pihak pengurusan KEMALAK MARINE, sebuah syarikat yang diterajui sepenuhnya oleh Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Pertemuan ini berlangsung dengan penuh mesra dan berfokus kepada usaha memperkasa peranan veteran dalam sektor strategik negara.
KEMALAK MARINE dipimpin oleh Leftenan Komander Mohd Faizal Ab Aziz TLDM (B) selaku Ketua Pegawai Eksekutif, dan lebih membanggakan, majoriti barisan pengurusan syarikat ini turut terdiri daripada Veteran TLDM sendiri. Keadaan ini menjadi bukti bahawa ilmu, kepakaran, dan disiplin yang diperoleh semasa berkhidmat di laut terus dimanfaatkan dalam dunia perniagaan dan industri maritim.
Pertemuan ini juga merupakan sebahagian daripada agenda PVTLDM untuk menyantuni dan mendekati pemain industri Ekonomi Biru yang datang daripada kalangan Veteran TLDM. Langkah ini selaras dengan misi PVTLDM untuk memberi ruang dan peluang yang lebih luas kepada veteran dalam sektor-sektor yang strategik, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Dalam sesi perbincangan, pihak pengurusan KEMALAK MARINE telah menyatakan komitmen untuk mendaftarkan kesemua kakitangan veterannya sebagai ahli PVTLDM. Langkah ini diambil selepas menerima taklimat berkenaan misi dan hala tuju baharu PVTLDM yang berteraskan Inisiatif 3K – Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan – serta pelan tindakan ke arah memperkukuh penglibatan veteran dalam Ekonomi Biru.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pelbagai potensi kerjasama yang mampu memberi manfaat dua hala, termasuk perkongsian sumber, program pembangunan kapasiti, dan peluang perniagaan maritim yang dapat dimanfaatkan oleh para veteran. Kerjasama ini dijangka memberi kesan positif bukan sahaja kepada kesejahteraan warga veteran, malah turut menyumbang kepada pembangunan jangka panjang PVTLDM sebagai sebuah organisasi veteran yang progresif.
Presiden PVTLDM menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan KEMALAK MARINE atas keterbukaan dan komitmen yang ditunjukkan, sambil menyatakan keyakinan bahawa hubungan strategik seperti ini adalah kunci kepada pengukuhan peranan veteran dalam arus pembangunan negara, khususnya dalam sektor maritim yang menjadi teras kekuatan TLDM.