PVTLDM dan PALAPES UiTM Perkukuh Jalinan Kerjasama Melalui Inisiatif MyHeroes Night Charity Run

SHAH ALAM, 31 Oktober 2025 – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) telah berpeluang mengadakan pertemuan mesra bersama kepimpinan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai oleh Lt Kol Prof Madya Dr Ariff Md Ab Malik, Timbalan Komandan PALAPES UiTM, di Markas PALAPES UiTM Shah Alam semalam.

Pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni ini turut memperlihatkan penghargaan tinggi pihak PALAPES terhadap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), setelah mereka baru sahaja pulang daripada lawatan rasmi ke Pangkalan TLDM Lumut. Menurut mereka, pengalaman secara langsung menyaksikan tahap profesionalisme warga Navy telah meninggalkan kesan mendalam dan membangkitkan rasa bangga terhadap keupayaan TLDM.

PVTLDM turut merakamkan penghargaan khas kepada Panglima Pendidikan dan Doktrin TLDM, YBhg. Dato’ Abd Halim, serta tim beliau yang telah menjayakan lawatan tersebut dengan penuh berkesan hingga meninggalkan kenangan manis buat warga PALAPES UiTM.

Menariknya, pertemuan yang pada awalnya bertujuan membincangkan mengenai MyHeroes Night Charity Run akhirnya berkembang kepada perbincangan selama dua jam yang merangkumi peluang kerjasama lebih luas, khususnya melalui inisiatif 3K PVTLDM. UiTM turut menyatakan minat untuk menjalin kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang dapat memberi manfaat bersama.

Menurut wakil PVTLDM, pihak persatuan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam aktiviti yang memberi nilai dan solusi kepada masyarakat, sejajar dengan matlamat PVTLDM sebagai platform kebajikan dan pembangunan komuniti veteran TLDM.

PVTLDM turut merakamkan penghargaan kepada Kept Jamalunlaili Abdullah atas nasihat dan panduan yang diberikan sepanjang sesi tersebut.

PVTLDM berharap UiTM dapat menghantar kontijen besar bagi memeriahkan MyHeroes Night Charity Run yang bakal berlangsung di Dataran Wawasan pada 15 November ini.