
PUTRAJAYA, 17 April — Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Putrajaya menjalin kerjasama strategik bersama Aeronerve dalam usaha memperluas peluang latihan dan kerjaya kepada komuniti veteran.
Kerjasama tersebut melibatkan pendedahan kepada kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi masa hadapan, selaras dengan keperluan industri semasa yang semakin berteraskan digital dan automasi.
Menurut PVTLDM, inisiatif ini bertujuan melengkapkan ahli veteran dengan kemahiran baharu agar kekal relevan dalam pasaran kerja serta mampu menyumbang dalam sektor berteknologi tinggi.
Selain itu, Aeronerve turut membuka peluang kerjaya dalam bidang persenjataan, termasuk kepada veteran TLDM yang berpengalaman sebagai jurulatih. Syarikat berkenaan memiliki fasiliti “indoor shooting range” yang digunakan sebagai platform latihan profesional.
“Peluang ini amat sesuai bagi veteran, khususnya bekas Gunnery Instructor (GI), untuk memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam bidang latihan persenjataan,” menurut kenyataan PVTLDM.
Dalam masa sama, pertemuan tersebut turut menjadi platform awal bagi kedua-dua pihak meneroka kerjasama yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.
Aeronerve juga dijadualkan menyertai Defense Services Asia 2026 yang akan berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) minggu hadapan.
PVTLDM memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan diteruskan bagi memperincikan bentuk kerjasama yang boleh memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti veteran TLDM.