JOHOR BAHRU, 7 Julai 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Johor telah memulakan langkah proaktif dalam memperkasakan ekonomi ahlinya melalui projek penanaman pokok Roselle yang kini dijalankan secara rintis oleh beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) PVTLDM Negeri Johor.
Projek ini dijalankan dengan matlamat jangka panjang bagi memperluaskan penyertaan kepada lebih ramai ahli veteran TLDM di negeri Johor serta menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa industri pertanian berasaskan komuniti.
Roselle, atau nama saintifiknya Hibiscus sabdariffa L., merupakan spesis bunga raya yang dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai asam paya, asam kumbang atau asam susur. Tumbuhan ini tergolong dalam kategori tanaman semusim dengan ketinggian boleh mencecah sehingga 205 sentimeter. Jangka hayat tanaman adalah antara 6 hingga 10 bulan, dan pokok mula mengeluarkan bunga selepas 45 hingga 60 hari ditanam. Bunga Roselle akan menghasilkan buah berwarna merah gelap, matang dalam masa 35 hari selepas berkembang dan mengandungi lima kaliks yang bercantum di bahagian bawah bunga.
Menariknya, projek ini mendapat sokongan daripada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor, yang bertindak sebagai pembeli utama hasil Roselle. Harga belian bagi buah Roselle gred A ialah RM4.70 sekilogram, manakala gred B dijual pada RM3.20 sekilogram. FAMA turut menetapkan bahawa gred A akan dieksport ke Australia, manakala gred B akan dihantar ke pusat pemprosesan makanan FAMA di Rengit, Johor.
Setiausaha PVTLDM Johor memaklumkan bahawa projek ini masih di peringkat permulaan dan melibatkan hanya sebahagian kecil AJK PVTLDM Johor. Walau bagaimanapun, ia dijangka akan diperluaskan kepada lebih ramai ahli dalam masa terdekat, khususnya mereka yang berminat dalam bidang pertanian dan ingin menjana pendapatan sampingan selepas bersara daripada perkhidmatan TLDM.
Presiden PVTLDM, Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara) menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan bahawa ia selari dengan Inisiatif 3K PVTLDM, terutamanya tonggak Keusahawanan, yang menyasarkan pembangunan ekonomi veteran secara mampan melalui aktiviti produktif dan berkualiti tinggi.
Projek penanaman Roselle ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha mewujudkan ekosistem pertanian komuniti veteran yang berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa.