Taklimat Awal Bersama Perbadanan Putrajaya: PVTLDM Rancang Anjur Larian Amal PVTLDM Oktober Ini

PUTRAJAYA, 13 Mei 2025 – Satu langkah penting telah diambil dalam merealisasikan Larian Amal PVTLDM 2025 apabila taklimat awal bersama Perbadanan Putrajaya (PPJ) berlangsung dengan jayanya di ibu pejabat PPj. Acara yang dirancang akan diadakan pada awal Oktober 2025 ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya oleh Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), dengan matlamat menggabungkan elemen kebajikan, kerjaya dan keusahawanan dalam satu platform komuniti berskala besar.

Dalam taklimat tersebut, PVTLDM telah membentangkan keseluruhan konsep acara yang berteraskan aktiviti keluarga, dengan Larian Amal sebagai acara utama. Selain itu, penganjuran juga akan merangkumi Mini Ekspo Usahawan yang memberi ruang kepada veteran TLDM berniaga, serta Mini Konsert Amal untuk menarik penyertaan masyarakat umum.

Program ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium untuk menjana dana bagi mendukung inisiatif PVTLDM, malah turut bertujuan mempromosikan kerjaya kedua dalam kalangan veteran serta menonjolkan potensi luar biasa mereka selepas bersara. Ia juga akan mengukuhkan solidariti komuniti dan kesedaran awam terhadap sumbangan besar veteran TLDM kepada negara.

Perbadanan Putrajaya dalam sesi ini telah menunjukkan komitmen padu dengan memberi sokongan serta panduan berharga melibatkan aspek logistik, keselamatan, teknikal dan promosi. Susulan taklimat ini, mesyuarat teknikal akan diadakan dalam masa terdekat untuk memperincikan pelaksanaan acara dan kerjasama antara agensi.

Presiden PVTLDM menyatakan keyakinan bahawa acara ini akan menjadi pembuka jalan kepada penganjuran tahunan yang bukan sahaja mengangkat imej PVTLDM, tetapi juga memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti veteran secara keseluruhannya. Beliau turut berharap semua pihak berkepentingan termasuk di bawah Kementerian Pertahanan, agensi kerajaan serta sektor swasta akan tampil memberikan sokongan penuh terhadap acara kebajikan ini.

PVTLDM turut menggalakkan penyertaan terbuka daripada orang awam, warga tentera, veteran serta keluarga masing-masing untuk bersama menyokong acara ini sebagai satu simbol perpaduan dan penghargaan terhadap perwira negara.

Maklumat lanjut mengenai penyertaan, pendaftaran dan aktiviti berkaitan akan diumumkan melalui laman rasmi PVTLDM di https://pvtldm.org dan media sosial rasmi PVTLDM dari semasa ke semasa.