TAKLIMAT PROGRAM KEMUDI E25 PLATFORM BIMBINGAN USAHAWAN VETERAN TLDM

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2025 – Satu sesi taklimat khas Program KEMUDI E25 telah diadakan bersama Puan Irma Jasmin, Pengarah Bahagian Kerjaya & Sosioekonomi, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), di Ibu Pejabat JHEV ATM, Kuala Lumpur.

Program KEMUDI E25 merupakan antara inisiatif utama di bawah teras Keusahawanan dalam rangka Inisiatif 3K PVTLDM, yang menekankan tiga fokus utama: Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan. KEMUDI merupakan akronim kepada “KEusahawanan Mandiri Untuk Diri & Industri”, manakala E25 membawa maksud Entrepreneur 25, merujuk kepada seramai 25 orang usahawan veteran TLDM yang akan dipilih menyertai program ini bagi tahun 2025.

Menurut Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (B), Presiden PVTLDM, program ini direka khas sebagai platform sokongan dan bimbingan secara intensif selama enam bulan kepada para peserta yang terpilih. Program ini menyasarkan pembinaan asas kukuh dalam keusahawanan melalui modul-modul latihan praktikal, sesi mentor-mentee, dan jaringan industri, bagi melahirkan usahawan veteran yang mampan dan berdikari.

Taklimat ini juga menyentuh tentang perancangan pelancaran rasmi program, yang dijangka akan disempurnakan oleh pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dalam masa terdekat. Pelancaran ini akan menjadi simbolik kepada komitmen kerajaan dalam memperkasakan kebajikan veteran melalui pendekatan keusahawanan.

Sesi taklimat turut menyaksikan pembentangan terperinci oleh Puan Juzairiah daripada JW Empire, selaku rakan pelaksana strategik untuk program ini. Beliau menerangkan bahawa modul yang disusun telah mengambil kira keperluan sebenar veteran dalam membina perniagaan kecil dan sederhana yang berdaya saing, termasuk akses kepada pembiayaan, pembangunan jenama, serta pemasaran digital.

Program KEMUDI E25 dijangka menjadi model rujukan kepada usaha pembangunan keusahawanan veteran dalam sektor pertahanan, di mana kejayaan peserta akan membuka jalan kepada perluasan program ini kepada lebih ramai veteran TLDM di masa hadapan.

Presiden PVTLDM menyatakan keyakinan bahawa dengan komitmen padu daripada JHEV ATM, rakan industri, dan peserta sendiri, KEMUDI E25 mampu melahirkan barisan usahawan veteran yang berwibawa, berdaya tahan dan mampu mencipta impak positif kepada komuniti dan ekonomi negara.