Veteran OKU PVTLDM Diziarahi Timbalan Menteri Pertahanan di bawah Program Peduli Veteran Madani

KUALA KLAWANG, 13 Julai 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Negeri Sembilan terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan ahlinya apabila satu lawatan ziarah telah diadakan ke atas seorang veteran orang kurang upaya (OKU), LK KMR Mahana binti Rashid, di bawah Program Peduli Veteran Madani (PVM).

Lawatan yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 11.30 pagi itu telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, sebagai salah satu daripada agenda rasmi program kebajikan kementerian. Turut mengiringi dalam lawatan penuh makna ini ialah Yang Dipertua PVTLDM Negeri Sembilan, Laksamana Pertama Mohd Yusri bin Mohd Yunus (Bersara), bersama barisan Ahli Jawatankuasa PVTLDM Negeri Sembilan.

Lokasi lawatan adalah di kediaman LK KMR Mahana binti Rashid yang terletak di Batu 1, Kampung Bukit, 71600 Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Beliau merupakan salah seorang ahli veteran wanita PVTLDM yang tergolong dalam kategori OKU dan kini menjalani kehidupan harian dengan bantuan serta sokongan keluarga dan masyarakat setempat.

Dalam sesi kunjungan tersebut, pihak kementerian bersama PVTLDM Negeri Sembilan telah menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas dan peralatan sokongan kesihatan bagi meringankan beban Mahana serta keluarganya. YB Timbalan Menteri Pertahanan turut mengambil masa untuk beramah mesra dan mendengar sendiri luahan serta harapan daripada pihak keluarga.

Lawatan ini bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan dan PVTLDM dalam memastikan tiada veteran yang terpinggir, termasuk dalam kalangan veteran wanita dan golongan OKU. Program Peduli Veteran Madani merupakan salah satu inisiatif berterusan bagi memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan sosial dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia.

Laksamana Pertama Mohd Yusri bin Mohd Yunus (Bersara) dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kementerian atas kesudian meluangkan masa menjenguk sendiri keadaan veteran di lapangan, serta menekankan bahawa PVTLDM akan terus menjadi penghubung yang aktif antara veteran dan agensi kerajaan bagi memastikan kebajikan semua ahli terus dijaga.