
KUALA LUMPUR, 15 April — Seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lt Redzal Amzah TLDM (Bersara), telah terpilih menyertai Global Sumud Flotilla 2.0, satu inisiatif antarabangsa yang menghimpunkan pelayar dan aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara.
Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pemilihan beliau mencerminkan tahap keupayaan serta kredibiliti tinggi yang dimiliki hasil pengalaman dalam perkhidmatan TLDM.
Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan misi pelayaran simbolik merentasi perairan antarabangsa yang membawa mesej solidariti, keamanan dan kemanusiaan. Misi tersebut turut menuntut tahap disiplin, ketahanan mental dan fizikal yang tinggi dalam kalangan peserta.
Menurut PVTLDM, Lt Redzal Amzah yang kini merupakan seorang pelaut bertauliah (certified seafarer) membawa bersama nilai teras anggota laut termasuk disiplin, keberanian serta semangat juang yang berterusan.
“Pemilihan ini bukan sahaja satu pengiktirafan kepada individu, malah mencerminkan peranan berterusan veteran TLDM dalam menyumbang di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
PVTLDM turut menyatakan bahawa penyertaan tersebut membuktikan golongan veteran TLDM kekal relevan serta mampu mengharumkan nama negara di persada global.
Misi berkenaan dijangka menjadi platform untuk memperkukuh mesej kemanusiaan sejagat serta mengeratkan hubungan antara peserta dari pelbagai negara.
PVTLDM turut menzahirkan harapan agar misi tersebut berjalan lancar dan selamat, selain menantikan perkongsian pengalaman oleh Lt Redzal Amzah sekembalinya beliau kelak.